Zakat ialah rukun Islam ketiga seleas mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan solat. Ia disebut sebanyak 32 kali (26 ayat) dalam al-Qur’an. Ia biasanya disebut beriringan dengan solat. hanya terdapat satu ayat sahaja di mana zakat disebut tanpa solat, iaitu ayat 7 Surah al-Fussilat. Penyebutannya selepas solat menunjukkan betapa eratnya hubungan anatara menunaikan solat dengan mengeluarkan zakat.

Jika solat merupakan hablun minallah, iaitu hubungan khusus seseorang hamba dengan Allah, maka zakat pula ialah hablun minannas, iaitu hubungan seseorang hamba dengan hamba yang lain. Firman Allah:

1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,
2. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;
3. dan mereka Yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan Yang sia-sia;
4. dan mereka Yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
(Surah al-Mu’minun [23]: 1-4)

Antara hikmah pensyariatan zakat adalah untuk menyucikan jiwa manusia. Secara semula jadinya manusia suka mengumpulkan harta. Keinginan yang tinggi untuk menambah sebanyak mungkin harta menyebabkan manusia bimbang jika hartanya berkurangan Sebab itulah Allah menyatakan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertakwa ialah orang yang mengeluarkan zakat. Ini ialah dorongan daripada Allah kepada umat Muhammad supaya berlumba-lumba menjadi hamba-Nya yang bertakwa dengan mengeluarkan zakat. Firman Allah:

1. Alif, Laam, Miim.
2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;
3. Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.
(Surah al-Baqarah [2]: 1-3)

Persoalan zakat dalam al-Qur’an sentiasa disebut selepas solat, iaitu terdapat 26 ayat yang menggunakan lafaz zakat. Manakala terdapat enam ayat lagi zakat disebut selepas solat tetapi tidak menggunakan lafaz zakat, bahkan digunakan lafaz infaq. Gabungan ini menunjukkan peri pentingnya hubungan zakat dengan solat lebih-lebih solat adalah cara membina hubungan antara hamba dengan pencipta-Nya, manakala zakat pula berperanan membina hubungan antara hamba dengan hamba.

Zakat merupakan salah satu antara rukun agama yang wajib dilaksanakan. Jika rukun ini tidak dilaksanakan dengan baik maka ia akan mencacatkan kesempurnaan agama orang tersebut. Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

Maksud: “Islam dibina di atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan berpuasa di bulan Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari)[1]

Berdasarkan hadith di atas, maka kita dapat membuat satu kesimpulan penting, iaitu jika salah satu sahaja rukun agama yang pincang, maka akan pincanglah agama.

Kecenderungan untuk mengumpul harta kekayaan akan menyebabkan seseorang itu enggan membayar zakat. Ia ditambah lagi apabila kecintaannya makin menebal. Allah mengecam dan mengancam orang yang tidak mahu membayar zakat: Firman Allah (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai Dengan cara Yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). dan (ingatlah) orang-orang Yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka Dengan (balasan) azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.” (Surah at-Tawbah [9]: 34)

Ketika mentafsirkan ayat ini al-Fakhr al-Razi berkata: “Sekiranya yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang Islam yang enggan membayar zakat, maka taqdirnya ialah Allah menyifatkan mereka orang yang haloba dalam mengambil harta orang ramai dengan cara yang batil, kemudian Allah mengisyaratkan orang Islam supaya mengeluarkan hak-hak yang wajib daripada harta mereka serta menerangkan tentang ancaman yang sangat pedih kerana meninggalkannya.”[2]

Manakala Ibn Kathir pula berkata mereka itu adalah jenis ketiga daripada golongan pemimpin orang ramai kerana orang ramai akan cenderung kepada para ulama, orang yang kuat beribadat dan kepada orang yang memiliki harta (kaya). Sekiranya keadaan mereka bertiga rosak, maka rosaklah keadaan orang ramai.[3]

Kecenderungan mengumpulkan harta serta enggan membayar zakat ini diungkapkan dengan menarik oleh al-Razi apabila beliau berkata: “Sesungguhnya manusia apabila dia menyukai sesuatu, maka tatkala dia makin banyak memperolehnya maka perasaan menikmatinya juga lebih banyak. Cintanya lebih kuat serta kecenderungannya juga lebih hebat. Seseorang manusia apabila ia fakir maka seolah-olah dia tidak menikmati kelazatan mengeksploitasikan harta dan seolah-olah dia leka daripada kelazatan tersebut. Apabila dia memiliki sedikit harta maka dia memperoleh kelazatan sekadarnya. Lalu kecenderungannya semakin kuat. Tatkala hartanya semakin bertambah, kenikmatan terhadap harta pun semakin kuat dan keprihatinannya dalam mencari dan memperoleh harta pun semakin kuat.”[4]

“Justeru telah sabit bahawa memperbanyakkan harta adalah sebab kepada memperkuatkan keinginan untuk mencarinya. Kecenderungan itu memenatkan roh, jiwa dan hati serta banyak mudarat. Sebab itu wajib ke atas orang yang berakal untuk berjaga-jaga daripada memudaratkan jiwa.”[5]

Ibn Abbas membuat satu rumusan yang sangat menarik tentang harta yang disebut dalam ayat ini. Kata beliau: “Setiap harta yang ditunaikan zakatnya bukanlah kanz (harta khazanah) sekalipun ia tertanam dalam tanah; dan setiap harta yang tidak ditunaikan zakat adalah kanz (harta khazanah) sekalipun ia tidak tertanam.”[6]

Apa yang perlu difahami, harta yang banyak dan pangkat akan mewariskan sifat yang melampaui batas dalam agama sebagaimana firman Allah (yang bermaksud): “Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Kerana dia melihat dirinya sendiri serba cukup”;[7] dan sifat melampaui batas itu menghalang seseorang hamba itu sampai kepada maqam keredaan Tuhan serta menyebabkannya jatuh ke lembah kerugian dan kehinaan. Justeru, Allah mewajibkan zakat dan ia bertujuan mengurangkan harta Sekiranya memperbanyakkan harta itu mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu, sudah tentu syarak tidak akan menyeru supaya mengeluarkan zakat.[8]

Dalam hal ini bukan hanya Allah memberi ancaman kepada orang yang enggan membayar zakat, bahkan Allah mengaitkan persoalan berperang dengan persoalan zakat. Firman Allah:

“Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan Yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah at-Tawbah [9]: 5)

Dalam mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir berkata: “Abu Bakar al-Siddiq berpegang kepada ayat ini tentang kewajipan memerangi orang yang enggan membayar zakat di mana diharamkan memerangi mereka (orang kafir) berdasarkan syarat ini, iaitu memeluk Islam serta berusaha melaksanakan tuntutannya.”[9] Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Syafi’i.[10]

Tambah beliau lagi: “Sesungguhnya rukun yang paling mulia selepas syahadatnya ialah solat yang merupakan hak Allah.” Kemudian selepasnya barulah menunaikan zakat yang merupakan manfaatnya terus kepada golongan fakir dan golongan yang memerlukannya. Ia merupakan amalan yang paling mulia yang berkait dengan makhluk. Sebab itu Allah selalu menggabungkan antara solat dengan zakat.[11]

Firman Allah:

“…dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Tawbah [9]: 71)

Dalam ayat ini Allah membuat perisytiharan tentang pentingnya menunaikan zakat kerana ia merupakan salah satu antara ciri-ciri orang Mukmin sekaligus yang boleh dijadikan penolong kepada Mukmin yang lain. Ini sebagaimana hadith Rasulullah:

Maksud: Daripada Abu Musa daripada Nabi, baginda bersabda: “Sesungguhnya orang Mukmin dengan Mukmin yang lain adalah seperti bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. Lalu Baginda memasukkan antara jari jemari Baginda.” (Riwayat al-Bukhari)[12]

Al-Nu’man ibn Basyir meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

“Perumpamaan orang Mukmin pada kasih sayang, kasihan belas dan hubungan hati sesama mereka seumpama tubuh yang satu. Apabila satu anggota mengadu kesakitan maka seluruh anggota lain pun berkongsi sama dengan berjaga malam dan menanggung kesakitan.” (Riwayat Muslim)[13]

Bagi mencapai maksud “saling menguatkan antara satu sama lain” dan “seumpama satu tubuh”, maka zakat memainkan peranan yang sangat penting. Apabila seseorang memberi zakatnya kepada seorang fakir, maka si fakir itu akan berasa gembira serta bersyukur kepada Allah. Kegembiraannya akan berganda jika diketahuinya bahawa orang yang memberi zakat tersebut ialah kenalannya. Dia berasa bahawa orang kaya atau berkemampuan yang tinggal berjiran atau sekampung dengannya masih menghargainya. Bagi si pembayar zakat pula, dia akan berasa puas hati apabila dia dapat membantu meringankan bebaban hidup jiran tetangga atau kenalannya. Tindakan memberikan zakat ini tidak akan dilakukan melainkan apabila dia sendiri berasa bahawa penderitaan si fakir perlu dikongsi olehnya kerana mereka ialah saudar seagama yang sama-sama dituntut bertolong menolong antara satu sama lain.

Rujukan:
Tafsir Maudhu’iy: Ekonomi dan Kewangan, Bab 3: Bentuk-Bentuk Aktiviti Ekonomi Dan Kewangan Dalam Al-Qur’an: Aktiviti yang Dianjurkan: Kedua: Zakat, hlm. 41 – 46, tulisan oleh Wan Nasyrudin Wan Abdullah et al. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2014


[1] Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Jilid 1., hlm. 11, no hadith: 7.
[2] Al-Fakhr al-Razi, Abu Abdullah Muhammad ibn Umar. Al-Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghayb. Jilid 8., hlm. 9.
[3] Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail ibn Muhammad Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jilid 4, hlm. 138.
[4] Al-Fakhr al-Razi, op. cit, Jilid 8, hlm. 10
[5] Ibid
[6] Al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas’ud, 1997, Ma’alim al-tanzil. Cetakan Keempat. Jilid 4. Dar Tiba’ah li al-Nash wa al-Tawzi’ hlm 41.
[7] Surah al-‘Alaq [96]: 6-7
[8] Al-Fakhr al-Razi, op. cit, Jilid 8, hlm. 11
[9] Ibn Kathir, op.cit., Jilid 4., hlm. 111.
[10] Al-Alusi, Shihab al-Din Mahmud al-Alusi. Ruh al-Maani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azim wa al-Sabc al-Mathani. Juzuk 7., hlm. 158.
[11] Ibn Kathir, op.cit., Jilid 4., hlm. 111.
[12] Al-Bukhari, op. cit., Juzuk 2., hlm. 289, no. hadith: 459..
[13] Muslim Ibn al-Hajjaj, Sahih Muslim. Juzuk 12, hlm. 468, no hadith: 4685.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s