Zakat pendapatan sememangnya telah lama dibincangkan di Malaysia. Bermula dengan perbahasan tentang kewajipannya, sehinggalah perbincangan tentang sejauhmana ia dilaksanakan diterima masyarakat. Antara yang paling awal mengketengahkan isu zakat pendapatan adalah Prof. Madya Dr. Ab. Rashid Hj. Dail iaitu pada 13 April 1985 dalam sebuah program dinamakan Nadwah Zakat Negeri Kedah, anjuran Jabatan Zakat Negeri Kedah, di Sungai Petani.

Rentetan program tersebut, zakat pendapatan telah dibawa untuk dibincang dan diputuskan di dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, pada tahun 1986. Kedah menfatwakan zakat pendapatan sebagai wajib, dan diwartakan kerajaan negeri Kedah pada 10 April 1986, justeru menjadikan ia keputusan rasmi paling awal melibatkan pentadbiran agama Islam di negeri. Di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Kedah) Tahun 1962 Bilangan 9 Tahun 1962, Warta Kerajaan (Kedah) bertarikh 10 April 1986, Jilid 2, Bil. 8:

“Jawatankuasa fatwa telah mengkaji mengenai pembayaran zakat ke atas pendapatan gaji dan lain-lain sumber pendapatan yang diterima yang ada kaitan dengannya dan bersetuju memberi pandangan bahawa wang gaji, elaun, hadiah dan lain-lain pendapatan yang diberi oleh seseorang dari semasa ke semasa hendaklah dengan bertaqlidkan Mazhab hanafi disatukan dengan wang yang terkumpul dan hendaklah dizakatkan ketika genap haul yang bermula sejak cukup nisab, ini bermakna apa-apa pendapatan yang diperolehi pada pertengahan haul, hendaklah dizakatkan sekalipun belum genap haul bagi tiap-tiap satu pendapatan itu.”

Seterusnya pada 22 Mac 1990, negeri Perak pula menfatwakan zakat pendapatan namun keputusannya agak berbeza dengan fatwa-fatwa negeri lain. Perak menfatwakan zakat pendapatan sebagai tidak wajib atas sebab syarat-syarat wajib yang tidak berlaku dalam gaji. Fatwa ini menandakan Perak satu-satunya negeri yang tidak mewajibkan zakat pendapatan. Namun begitu fatwa ini tidak menghalang zakat pendapatan untuk dikutip, cuma ia tidak diwajibkan menurut pandangan fatwa. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan fatwa zakat pendapatan seperti berikut:

“Bahawa gaji atau pendapatan termasuk dalam kategori yang wajib zakat apabila cukup nisab dan haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan oleh Jumhur Ulama dalam mazhab yang empat. Syarat ini tidak berlaku pada gaji atau pendapatan maka gaji atau pendapatan tidak wajib zakat.” 

Kemudian pada 19 Oktober 1992, Zakat Gaji telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatangkuasa Fatwa Negeri Terengganu yang menyatakan “pendapatan gaji diwajibkan zakat apabila cukup haul dan nisabnya”. Memandangkan kepada penunaian zakat ini memberi kebajikan kepada orang-orang Islam maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat bolehlah bagi sesiapa yang mahu mengeluarkan zakat pendapatan bebas atau hasil usaha kerja atau hasil usaha kemahiran semasa termasuklah gaji menunaikan zakatnya menurut pendapat yang tidak mensyaratkan haul. Dinyatakan lagi:

“Berdasarkan Mazhab yang mewajibkan zakat atas pendapatan bebas seperti hasil yang diperolehi oleh peguam termasuklah gaji bulanan maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat bayaran zakat bolehlah dibuat secara ansuran bulanan dari semasa ke semasa apabila mencukupi nisabnya yang dikeluarkan bagi tahun semasa tanpa mengambil kira haul.”

Pada tahun 1995, giliran negeri Kelantan pula memutuskan fatwa mengenai bayaran zakat gaji bulanan yang dibuat oleh majikan dengan izin atau permintaan pembayar zakat itu sendiri. Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 April 1995 telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:

  1. Zakat yang dibayar melalui potongan gaji bulanan adalah sah, dengan syarat hendaklah disertakan niat pada setiap kali ianya dikeluarkan.
  2. Si pembayar zakat hendaklah mewakilkan kepada majikan bagi pengeluaran zakat gaji untuk dirinya tiap-tiap bulan. Pihak majikan hendaklah berniat mengeluar zakat bagi pihak orang yang diwakilinya secara umum setiap kali potongan zakat dibuat.

Seterusnya, zakat pendapatan telah difatwakan di negeri Sarawak sebagai zakat gaji pada 23 November 1996 dengan keputusan:

  1. Gaji, tunggakan gaji, pelbagai elaun dan lain-lain pendapatan yang berkaitan dengan pengajian setelah ditolak keperluan asas, pembiayaan kerja, hutang dan apa-apa pembiayaan yang menjadi sebab sebenar pembiayaan seseorang itu apabila cukup nisabnya adalah wajib dizakat;
  2. Nisab zakat gaji adalah sama dengan nisab zakat emas dan perak. Nisab zakat emas ialah 85 gram (25.2259 mayam) dan nisab zakat perak ialah 595 gram (176.5913 mayam)

Kemudian di Negeri Sembilan, terbitan pada 2 hb. Julai 1998, di bawah seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, Warta Kerajaan bertarikh 8hb Jun 1998, Jilid 1 dan diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual, bahawa:

“Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Sembilan.” 

Seterusnya di Wilayah Persekutuan, secara rasminya telah difatwakan pada 9 April 1999 dan diwartakan pada 29 April pada tahun yang sama. Fatwa di bawah Seksyen 34, yang dinyatakan dalam Jadual telah dibuat oleh Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, menurut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, selepas dibincangkan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, dan adalah disiarkan menurut subseksyen itu:

“Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut.”

Pada 17 April 2000, di negeri Johor, Zakat Gaji dan Pendapatan telah difatwakan sebagai wajib namun tanpa diwartakan dengan keputusan: “Gaji dan pendapatan wajib dikeluarkan zakat bila mana cukup syarat-syaratnya.”

Kemudian zakat pendapatan telah difatwakan di negeri Melaka pula pada 22 Mei 2000 dan diwartakan pada 25 Mei 2000 di bawah seksyen 30, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Melaka 1991, Jil. 44, No.11, dengan keputusan seperti berikut:

“Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Melaka.”

Seterusnya zakat pendapatan telah difatwakan di Pulau Pinang sebagai zakat penggajian, pada 26 April 2001 dengan keputusan:

“Zakat ke atas pendapatan dan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat” 

Tahun berikutnya iaitu pada 9 Mei 2002, Selangor pula mewartakan fatwa zakat pendapatan yang mana teks fatwa tersebut adalah seperti berikut:

  1. Hukum zakat pendapatan adalah wajib ke atas umat Islam.
  2. Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di Selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat Zakat Selangor.

Dan yang paling akhir adalah di negeri Sabah, di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Sabah) 1992, Enakmen No. 13, Warta Kerajaan Sabah bertarikh 20 hb. Februari 2003, No. 149 dengan ini adalah dimaklumkan bahawa fatwa telah dibuat dan diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 sebagai berikut:

  1. Zakat Penggajian adalah diwajibkan ke atas sekalian umat Islam di Negeri Sabah.
  2. Majlis Ugama Islam Sabah (Bahagian Baitul Mal dan Zakat) hendaklah menyediakan mekanisme pengurusan pungutan zakat gaji tersebut.
  3. Zakat Penggajian umat Islam Negeri Sabah, boleh dikutip melalui potongan gaji setiap bulan sekali atau setiap setahun sekali mengikut pilihan masing-masing (dengan kadar nisab emas = 85 gram).
  4. Potongan Zakat Penggajian itu boleh dibuat melalui kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang beragama Islam sahaja sebagai amil yang dilantik”.

Berdasarkan semua penjelasan yang telah diberikan dalam sub-bahagian ini, pengkaji meringkaskan sejarah perkembangan penfatwaan zakat pendapatan di Malaysia ke dalam jadual berikut:

Ringkasan Penfatwaan Zakat Pendapatan di Malaysia

Bil. Negeri Tahun Fatwa
1 Kedah 1986 Wajib
2 Perak 1990 Tidak wajib
3 Terengganu 1992 Wajib
4 Kelantan 1995 Sah bayaran dengan disertakan niat
5 Sarawak 1996 Wajib dengan mengambilkira tolakan keperluan asas dan lain-lain kos.
6 Negeri Sembilan 1998 Wajib
7 Wilayah Persekutuan 1999 Wajib
8 Johor 2000 Wajib
9 Melaka 2000 Wajib
10 Pulau Pinang 2001 Wajib
11 Selangor 2002 Wajib dan hendaklah membayar di Selangor
12 Sabah 2003 Wajib

Sumber: Laman web Jabatan Fatwa Negeri

Kesemua fatwa-fatwa zakat pendapatan negeri yang dinyatakan disusun mengikut aturan masa ia diperkenalkan Perkembangan fatwa ke atas zakat pendapatan dilihat ke arah mewajibkannya, sungguhpun terdapat sebuah negeri yang memberi pandangan yang berlainan namun ia tidak memberi kesan terlalu besar di negeri lain. Perlu dijelaskan juga sesetengah negeri telah membuat beberapa pindaan dan pengkemaskinian atas inisiatif negeri itu sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s