Erti Perniagaan dan Zakat Perniagaan
Perniagaan atau ‘tijarah’ bermaksud jual dan beli untuk mendapatkan untung. Dari segi istilah, tijarah ialah suatu kontrak untuk memperoleh harta atau keuntungan sama ada secara tukaran, akad jual beli, sewaan atau hutang.

Perniagaan merangkumi barangan yang ada ‘ain (zat harta) dan juga manfaat daripada suatu harta atau perkhidmatan seperti sewaan yang menghasilkan pendapatan; kegiatatan yang melibatkan pertukaran harta dengan manfaat atau secara jual-beli sama ada dengan mata wang ataupun barangan, baik secara tunai, hutang atau sewaan bertujuan mendapatkan untung. Perbahasan fiqh mengklasifikasikan sumber zakat perniagaan seperti berikut:

a) Perniagaan Berasaskan Barangan
Zakat perniagaan bagi barangan mudir, iaitu peniaga runcitan yang tidak menunggu kenaikan harga barangan sebelum menjualnya. Menurut fuqaha Mazhab Malik, peniaga ini waji menunaikan zakat dan tidak dikenakan syarat haul terhadap barangannya. Namun haul peniaga dikira berasaskan haul modal harta asal dia mula berniat untuk menjalankan perniagaan ataupun tarikh dia mula membeli barang perniagaan. Nilai barangan ini dicampurkan kepada wang tunai dan ditolak hutang-piutang perniagaan yang ada (tidak termasuk harta tetap). Sekiranya jumlah pendapatan atau bakinya telah cukup atau melebihi nisab, maka zakat wajib ditunaikan.

Zakat perniagaan bagi barangan muhkatir (spekulasi), iaitu peniaga yang membeli barangan dan menunggu sehingga harganya di pasaran meningkat sebelum menjualnya. Jumhur (kecuali mazhab Maliki) menyatakan peniaga ini wajib mengeluarkan zakat setiap tahun walaupun dia tidak menjual barangan berkenaan. Namun fuqaha Maliki menegaskan bahawa hutang barang perniagaan yang diberikan oleh muhtakir kepada pembeli tidak wajib dikeluarkan zakatnya kecuali muhkatir itu telah menerima pembayaran hutang tersebut.

b) Perniagaan Berasaskan Perkhidmatan
Zakat perniagaan bagi perkhidmatan dan perundingan – biasanya bagi golongan profesional dan berkemahiran (hampir serupa dengan Zakat Pendapatan bezanya kali ini dijadikan perniagaan). Hasil pendapatan golongan ini lazimnya dibayar dalam bentuk imbuhan bulanan atau perolehan sekaligus. Fuqaha Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak mensyaratkan haul ke atas zakat ini bererti wajib dikeluarkan setelah cukup nisab walaupun tidak cukup haul. Namun jika tidak cukup nisab, hasil perolehan sewajibnya dikumpulkan hingga akhir haul untuk mencukupkan nisabnya.

Zakat perniagaan bagi harta al-mustaghallat, iaitu harta yang tidak diwajibkan zakat pada ‘ain-nya (fizikal), juga tidak dijadikan barang perniagaan, tetapi digunakan untuk nama’ (pengembangan harta/produktif), dan ia memberi keuntungan kepada pemiliknya dengan cara menyewa ‘ain-nya ataupun menjual barangan/manfaat yang terhasil daripadanya. Harta fizikal al-mustaghallat tidak diwajibkan zakat kerana ia tidak diniatkan untuk perniagaan, tetapi pemiliknya mendapat manfaat daripadanya seperti hasil sewaan, caj-caj pengangkutan, pendapatan projek ternakan dan pengeluaran serta lain-lain lagi. Hasil-hasil yang didapati seperti caj pengangkutan, yuran pengurusan dan sebagainya diwajibkan zakat kerana asas zakat masih sama seperti zakat perniagaan yang berasaskan barangan iaitu berdasarkan jumlah nilai baki di hujung haul.

Dalil Wajib Zakat Perniagaan
Jumhur ulama bersependapat bahawa zakat diwajibkan bagi harta perniagaan. Antara dalil syara’ adalah seperti berikut:

Ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” [Al-Baqarah (2):267]

Berdasarkan Tafsir al-Tabari, ayat ini memberi maksud, “Berzakatlah kamu daripada usaha kamu yang baik dengan menjalankan perniagaan atau pembuatan daripada emas dan perak”

Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Daripada Samurah ibn Jundub: Maka sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk djual (urud al-tijarah)” [Riwayat Abu Daud]

Urud al-tijarah ialah segala barangan selain dua mata wang (emas dan perak) yang diniat untuk diniagakan. Ia merangkumi semua benda termasuklah barangan, pakaian, tumbuhan, tanah, bangunan dan lain-lain.

“Daripada Abu Dzar: Pada unta ada zakatnya, pada lembu ada zakatnya, pada kambing ada zakatnya dan pada pakaian yang disediakan untuk dijual ada zakatnya (urud al-tijarah)” [Riwayat al-Hakim]

Syarat-Syarat Wajib Zakat Perniagaan

i) Islam
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh orang Islam. Perniagaan yang mempunyai pemilikan modal yang bercampur antara Muslim dan bukan Muslim, maka taksiran dibuat kepada entiti keseluruhannya tetapi hanya bagahian pemilikan orang Islam yang wajib dizakatkan.

ii) Produk, Harta dan Perkhidmatan yang Halal
Harta-harta yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua harta yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan yang menjalankan aktiviti yang haram seperti perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat. Bagi perniagaan yang ada percampuran halal dan haram hendaklah mengasingkan yang halal daripadanya untuk taksiran atau pengiraan zakat.

iii) Niat untuk Diniagakan
Tujuan perniagaan mestilah dilakukan ketika memiliki barang sama ada melalui tukaran/balasan atau cara lain. Aset tersebut akan menjadi sebahagian daripada aset yang dipunyai oleh perniagaan dengan tujuan diperniagakan untuk mendapatkan perolehan atau keuntungan. Syarat berniaga ini terikat kepada kewujudan dua elemen, iaitu niat dan amalan. Maka niat tanpa usaha iaitu amalan tersebut belum mencukupi syarat yang digariskan.

iv) Sumber Harta Perniagaan
Jumhur ulama mensyaratkan harta itu perlu diperoleh dengan cara tukaran seperti jual beli dan sewaan. Jika aset entiti perniagaan diperoleh dengan cara selain tukaran iaitu seperti pusaka, hibah atau khairat kematian, maka ia tidak tergolong dalam kategori zakat perniagaan.

v) Cukup Nisab
Nisab harta perniagaan dan wang ialah sebanyak 20 mithqal bersamaan nilai 85 gram emas. Oleh itu, apabila nilai harta perniagaan bersamaan atau melebihi nisab, maka harta tersebut diwajibkan zakat. Perniagaan yang dijalankan secara perkongsian, nisab perniagaannya ditaksirkan terhadap jumlah keseluruhan nilai harta yang dimiliki oleh perkongsian tersebut. Jika, perkongsian melibatkan rakan kongi bukan Muslim, zakat hanya diwajibkan terhadap pemilikan Muslim sahaja.

vi) Cukup Haul
Harta yang dizakatkan hendaklah dikira dari awal perniagaan sehingga genap tempoh satu tahun. Menurut mazhab Syafi’i, asas penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.

vii) Milik Sempurna
Harta yang diwajibkan zakat mestilah sempurna milik dari segi pemilikan fizikal dan pemilikan berkeupayaan mengurustadbir harta tersebut seperti menjual, menghadiah, menyewakan dan seumpamanya terhadap barangan tersebut.

viii) Harta yang Produktif (al-Nama’)
Harta yang diwajibkan zakat hendaklah terdiri daripada harta yang boleh berkembang atau berpotensi untuk berkembang, yakni mestilah berupaya untuk menghasilkan pendapatan dan keuntungan.

Kaedah Pengiraan Zakat Perniagaan
Kaedah pengiraan zakat perniagaan yang biasa diguna pakai ada tiga (3) jenis iaitu Kaedah 1 Modal Kerja; Kaedah 2 Modal Berkembang; dan Kaedah 3 Untung Rugi.

Kaedah 1: Modal Kerja
Sesuai digunakan bagi syarikat-syarikat seperti Syarikat Berhad, Sdn. Bhd., Koperasi, Enterprise, Trading dan sebagainya di mana terdapat pengkelasan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.

[Aset Semasa – Liabilti Semasa] x %Pemilikan Saham Muslim x 2.5%

Kaedah 2: Modal Berkembang
Sesuai digunakan bagi Institusi Kewangan dan Perbankan Islam, Takaful dan Syarikat Berhad di mana tiada pengkelasan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.

[Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Separuh Tetap] x %Pemilikan Saham Muslim x 2.5%

Kaedah 3: Untung Rugi
Sesuai digunakan bagi jenis perniagaan yang tiada akaun atau penyata kewangan seperti peniaga kecil dan runcit contohnya pasar tani, pasar malam, restoran, kedai makan, gerai-gerai makanan dan minuman dan lain-lain perniagaan yang berkaitan.

[Hasil / Jualan /Perolehan – Belanja / Kos Yang Ditanggung] x 2.5%

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s