Zakat dari sudut bahasa ialah bersih, suci, bertambah dan berkembang. Zakat juga boleh diertikan sebagai suatu rahmat, kebaikan, penyucian dan peningkatan. Zakat dari sudut istilah ialah mengeluarkan sebahagian harta yang tertentu kepada asnaf yang berhak dengan syarat-syarat yang tertentu. Perkataan zakat telah diulangi dalam kitab suci Al-Quran sebanyak 30 kali. 27 kali daripadanya digandingkan dengan perintah menunaikan sembahyang dalam satu ayat:

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.” [Al-Baqarah (2): 110]

Zakat hanya wajib ditunaikan apabila melepasi beberapa syarat antaranya iaitu harta tersebut mencukupi kadar minima (nisab), dimiliki dalam tempoh setahun (haul) dan wajib ditunaikan atas kadar tertentu (2.5%). Namun, sedekah pula tidak dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Dari sudut bahasa, sedekah bermaksud benar, lurus dan perkara yang diberikan kepada orang lain kerana Allah. Manakala dari sudut syarak, sedekah bermaksud suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah (haul dan nisab) tertentu sebagai kebajikan yang mengharapkan pahala dan redha Allah SWT. Bentuk sedekah sesungguhnya tidak dibatasi pemberian dalam bentuk wang dan material, malah juga meliputi sejumlah amal kebaikan yang dilakukan oleh seorang muslim:

Diriwayatkan dari Hudzaifah RA, dari Nabi SAW: Beliau bersabda: “Semua kebaikan itu adalah sedekah.” (HR Muslim)

KEIMANAN TERHADAP AL-QURAN DAN SUNNAH
Al-Quran ialah kitab suci yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikatNya. Ia mengandungi berbagai-bagai pengajaran, hukum-hakam, perundangan dan peraturan lengkap sebagai panduan umat Islam dan keselamatan sejagat. Kewajipan seorang muslim untuk beriman kepada Al-Quran dijelaskan dalam surah An-Nisaa’ ayat 136 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kita Al-Qur’an yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad SAW), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu..” [An-Nisaa’ (4): 136]

Daripada perintah ini, setiap muslim juga mesti meyakini tuntutan hadith Rasulullah SAW. Hadith atau sunnah adalah sesuatu daripada Nabi Muhammad sama ada berupa perkataan, perbuatan, pengakuan, tingkah laku dan sebagainya. Sesiapa yang menolak hadith secara total secara tidak langsung menolak kerasulan Nabi Muhammad. Hadith adalah sumber hukum kedua terbesar dalam Islam, di mana Al-Quran adalah menjadi sumber perundangan utama yang menerangkan segala permasalahan dan hukum-hukum dalam Islam secara umum. Hadith Nabi Muhammad SAW diperlukan bagi mentafsir dan menghuraikan ayat-ayat umum itu supaya lebih jelas dan terperinci. Justeru, setiap umat manusia diperintahkan supaya mengikuti Nabi Muhammad dengan mengambil apa yang disampaikan oleh beliau. Ini tidak terkecuali daripada beberapa aspek dan manfaat yang diperolehi melalui zakat dan sedekah.

PERSPEKTIF AL-QURAN
Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan kelebihan bagi mereka yang mengeluarkan zakat dan sedekah sama ada dalam bentuk manfaat di dunia mahupun dalam bentuk penghargaan di akhirat.

Pertama: Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [At-Taubah (9): 103]

Kalimat ‘membersihkan mereka’ bermakna mereka membersihkan dari dosa-dosa dan kebakhilan jiwa mereka. Kalimat ‘menyucikan mereka’ pula mengisyaratkan ada keutamaan dan kebaikan dalam bersedekah kerana sedekah itu membersihkan dan menyucikan serta menghilangkan keburukan dan meningkatkan darjat.

Ayat ini menjelaskan Allah SWT telah memerintahkan Rasulullah SAW mengambil sebahagian harta orang Islam daripada pelbagai jenis harta seperti emas, perak, binatang ternakan atau harta perniagaan sebagai zakat dengan ukuran tertentu sebagai fardhu, atau ukuran yang tidak ditetapkan sebagai sedekah. Kini, tugas mengambil zakat diserahkan kepada amil-amil yang dilantik oleh pemerintah Islam, dan jenis-jenis harta yang dizakatkan mula berkembang seiring dengan peredaran zaman. Justeru dengan zakat dan sedekah dapatlah hati mereka dibersihkan dengan sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar terhadap golongan fakir miskin. Disamping itu, zakat dapat menyuci jiwa dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat (Al-Maraghiy: 2001).

Amil-amil yang dilantik hendaklah mendoakan pembayar zakat sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abi Aufa menceritakan: “Jika Rasulullah SAW menerima zakat dari suatu kaum, maka beliau mendoakan mereka. Kemudian ayahku menyerahkan zakatnya kepada beliau, maka beliau Rasulullah SAW berdoa: ‘Ya Allah, limpahkan rahmat kepada keluarga Abi Aufa.’” (HR Muslim)

Kedua: Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” [Al-Baqarah (2): 276]

Allah SWT menghilangkan keberkatan riba dan menghancurkan harta yang menjadi modal kepada harta riba, hartanya tidak dapat dimanfaatkan dan akan menjadi mudarat kepada orang lain. Keburukan riba juga mewujudkan sikap pemusuhan orang miskin kepada pengamal riba. Sebaliknya, Allah SWT menetapkan bahawa orang yang mengeluarkan derma atau bersedekah, akan mendapat kelebihan yang jauh lebih besar daripada harta yang didermakannya. Allah SWT tidak membataskan rahmat dan pemberian-Nya, malah Maha Mengetahui akan siapa yang berhak mendapat pahala yang berlipat kali ganda. Apabila derma menampakkan hasilnya dalam kehidupan diri dan masyarakat, sebenarnya mereka memperoleh faedah yang besar dan turut menikmati kebaikannya (Al-Maraghiy: 2001).

Suatu yang perlu diyakini oleh sesorang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat ialah zakat dan sedekah itu tidak akan mengurangkan harta dan menghabiskan kekayaan, sebagaimana yang disangka oleh sebahagian orang. Malah, zakat dan sedekah akan menyuburkan harta selain juga menjadi simpanan atau saham yang hasilnya akan dipetik kelak dalam kehidupan di akhirat. Bahkan nilainya akan berlipat kali ganda sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNya.

Ketiga: Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya” [Al-Baqarah (2): 261]

Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah SWT mengenai gandaan pahala bagi orang yang menafkahkan harta kekayaannya mengikut jalan-Nya dengan tujuan mencari keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya, kebaikan itu digandakan sehingga tujuh ratus kali ganda, namun perumpamaan ini mengandungi isyarat bahawa pahala amal sedekah itu dikembangkan sebagaimana tumbuh-tumbuhan, tumbuh subur bagi orang yang menanamnya di tanah yang subur (Ibnu Katsir: 2008).

Ayat diatas menjelaskan bahawa pengorbanan harta yang dilakukan pada jalan Allah bukanlah perbuatan yang sia-sia dan merugikan, tetapi akan mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Bagaimanapun, yang dapat memahami seruan Ilahi hanyalah orang yang benar-benar beriman. Sedangkan orang-orang yang mementingkan, bahkan sudah sampai ke tahap mempertuhankan hartanya, amat berat baginya mengeluarkan sebahagian kecil daripada harta mereka itu tanpa ada keuntungan yang jelas terlonggok di hadapan matanya.

Sedekah yang diberikan walaupun jumlahnya sedikit, tetapi amat berharga di sisi Islam. Seseorang yang bakhil dan kedekut dengan tidak menzakatkan dan menyedekahkan sebahagian hartanya akan rugi di dunia dan akhirat. Jadi sebenarnya orang yang menggunakan harta di jalan Allah adalah juga untuk kepentingan dirinya sendiri. Sebab mengeluarkan harta semata-mata kerana Allah SWT akan memperoleh keberkatan juga menahan daripada kecelakaan.

Keempat: Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan) mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [At-Taubah (9): 99]

Iman kepada Allah dan hari akhirat itulah yang mendorong hati manusia untuk bersedekah, tidak takut kepada manusia, tidak merayu kepada golongan yang menang, dan tidak memperhitungkan untung dan rugi di dunia. Golongan yang beriman kepada Allah SWT memberikan sedekah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari doa Rasulullah SAW (Sayyid Qutb: 2000)

Diantara orang-orang yang menginfakkan harta di jalan Allah SWT sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai jalan memperoleh doa Rasul inilah golongan yang mendapat pujian. Maksudnya, yang demikian itu akan menjadi hasil bagi amal mereka (Ibnu Katsir: 2008).

Dalam ayat ini, haruslah diyakini bahawa nafkah yang telah didermakan itu telah diterima oleh Allah SWT dan Allah SWT juga akan memberi pahala terhadap perbelanjaan itu, sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya (Al-Maraghiy: 2001).

Justeru, Al-Quran telah menyatakan pelbagai manfaat yang bakal diterima oleh mereka yang mengeluarkan zakat dan sedekah. Ia bukanlah suatu pengkhabaran semata-mata, malah bukti dan realiti yang seharusnya diyakini terutamanya golongan yang mengaku beriman kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan hari akhirat.

PERSPEKTIF HADITH RASULULLAH SAW
Keuntungan terhadap golongan yang mengeluarkan zakat dan sedekah tidak terhenti dalam Al-Quran sahaja, malah turut dijelaskan oleh banyak hadith nabi secara terperinci. Ia selari dengan fungsi hadith itu sendiri yang sememangnya menjelaskan apa yang disentuh oleh Al-Quran. Demikianlah zakat yang disebut akan kewajipannya oleh Al-Quran, maka hadith bertindak menjelaskan dari segi teknikal cara mengeluarkan zakat. Tidak terkecuali juga manfaat membayar zakat dan sedekah yang akan dihuraikan oleh hadith Rasulullah SAW.

Hadith Pertama:

Maksudnya: Daripada Muaz Bin Jabal r.a, Nabi S.A.W bersabda: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu kebaikan? Puasa adalah pelindung (dari neraka), sedekah memadam kesilapan seperti air memadam api, dan seorang insan solat pada penghujung malam.”(An-Nawawi: Hadith 40)

Berdasarkan hadis ini, amalan yang boleh memasukkan seseorang hamba ke dalam syurga ialah menunaikan rukun-rukun lslam, iaitu benar-benar beriman kepada Allah tanpa syirik dan beriman kepada Rasulullah SAW, menunaikan sembahyang, zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan ibadat haji. Daripada hadith ini, dapatlah difahami bahawa seseorang itu digalakkan supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sentiasa menunaikan segala ibadat yang diwajibkan, disamping melakukan ibadat-ibadat sunat sebanyak mungkin. Namun, setiap manusia tidak akan bebas daripada melakukan dosa dan kesalahan yang merugikan diri. Namun, sedekah akan menjadi salah satu daripada kaedah bagi insan yang beriman menghapus kesilapan yang lalu demi mencari jalan menuju redha Allah SWT dan syurga di hari akhirat.

Sedekah yang disebut selepas puasa dan sebelum solat menunjukkan betapa besar dan penting pensyariatannya terhadap umat Islam. Ternyata ia suatu bukti bahawa penyusunan ibadah dalam Islam adalah berdasarkan wahyu Ilahi yang mempunyai objektif yang agung. Jika puasa berupaya menjadi pelindung kepada api neraka, maka sedekah pula akan memadamkan api dosa di samping memberi manfaat kepada mereka yang layak menerimanya. Inilah pintu kebaikan yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW, maka sesungguhnya setiap orang Islam wajib beriman dengannya seterusnya segera mengamalkannya.

Hadith Kedua:

Maksudnya: Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana (Hadith Riwayat: Imam Ath-Thabrani)

Hadith ini dikategorikan sebagai sahih seperti yang telah dikaji oleh Sheikh Nasir Al-Albaniyy. Selain daripada pelbagai kelebihan dan keuntungan yang diperolehi oleh sesorang yang mengeluarkan zakat dan bersedekah, ia juga mampu menolak musibah dan kesusahan kepada pengamalnya. Orang Islam yang telah menunaikan zakat yang diwajibkan dengan baik dan sempurna akan terlepaslah daripada azab dan bencana.

Justeru, amalan sedekah sememangnya suatu amalan yang terpuji. Setiap muslim seharusnya memberikan tumpuan kepada zakat yang diwajibkan terhadap kekayaan. Setiap pemegang harta hendaklah belajar kaedah-kaedah pengiraan zakat dan ia berkadaran dengan memurnikan kekayaan kita daripada hak-hak golongan miskin di dalamnya. Amal merupakan pelindung kekayaan, justeru dengan melakukan itu, kekayaan kita akan selamat dari sebarang bencana, kerugian, dan kemusnahan.

Bersedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana sedekah adalah sebagai salah satu lambang kesyukuran kepada Allah SWT dan mempereratkan hubungan persaudaraan sesama muslim. Dengan demikian sedekah adalah satu cara mengukuhkan hubungan antara hamba dengan Allah SWT dan di antara hamba sesama hamba.

Hadith Ketiga:

Maksudnya: Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Siapa sahaja Muslim yang memberi pakaian Muslim lainnya yang tidak memiliki pakaian, nescaya Allah akan memberinya pakaian dari hijaunya syurga. Siapa sahaja Muslim yang memberi makan Muslim lainnya yang kelaparan, nescaya Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan syurga. Dan siapa sahaja Muslim yang memberi minum Muslim lainnya yang kehausan, nescaya Allah akan memberinya minuman dari minuman suci yang tertutup.”(HR Bukhari & Muslim)

Hadits di atas, dengan demikian, secara tidak langsung mengingatkan bahwa harta yang ada di tangan kita sebenarnya hanya titipan Allah SWT. Supaya manfaatnya masih dapat dirasakan sampai kita kembali ke akhirat, maka harta itu harus dinafkahkan di jalan kebaikan semasih hidup di dunia. Lebih membahagiakan, balasan Allah bahkan sering tidak harus menunggu di akhirat, tetapi langsung ditunaikan ketika kita masih hidup di dunia berupa rezeki yang melimpah.

Hadith Keempat:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a; Bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Tidak ada satu hari yang hamba-hamba memasuki waktu paginya melainkan dua Malaikat turun, lalu salah satu dari keduanya berkata: ‘Ya Allah, berilah pengganti bagi orang yang berinfak.’ Sedang Malaikat yang lain berkata: ‘Ya Allah, berilah kebinasaan bagi orang yang menahan (tidak berinfak).’”(Sahih al-Bukhari & Muslim)

Hadith di atas mengandungi janji berupa kebaikan bagi orang yang berinfak dalam segala aspek kebajikan dan ancaman berupa kesulitan bagi orang yang melakukan hal sebaliknya. Kebaikan tersebut tidak sekadar diperuntukkan bagi keadaan di dunia atau keadaan di akhirat sahaja, tetapi lebih luas daripada itu. Sama halnya juga dengan doa oleh Malaikat berupa diberi penggantian atau kebinasaan, juga mencakupi di dunia atau di akhirat.

Malaikat tersebut mendoakan kepada sesiapa yang mendermakan hartanya dengan dibalas kebaikan oleh Allah SWT, namun didoakan pula kepada orang yang menahan hartanya supaya dirosakkan jiwa dan raganya. Ramai orang yang jiwanya ditimpa petaka disebabkan kebakhilannya untuk bersedekah. Justeru, setiap muslim seharusnya berwaspada apabila dikhabarkan dengan peringatan sebegini.

An-Nawawi mengulas hadith diatas. Para ulama berpendapat maksud dari menginfakkan adalah menginfakkan harta dalam hal ketaatan, kemuliaan akhlak untuk keluarga, memberi sumbangan pada tetamu, serta ibadah-ibadah sunnah. Ertinya seseorang yang mendermakan harta tidak akan dianggap sebagai perbuatan boros, malah menahan harta untuk mendermakan harta merupakan perbuatan yang tercela.

Berdasarkan hadith-hadith telah dinyatakan sebelum ini, pelbagai manfaat dan keuntungan bakal diterima oleh mereka yang mengeluarkan zakat dan sedekah. Selagi maut belum datang menjelma, ibadat wajib zakat dan ibadat sunat bersedekah seharusnya sentiasa diamalkan agar diri sendiri terlindung dari azab disamping hak golongan yang layak menerima sumbangan tersebut dapat ditunaikan.

KESIMPULAN
Zakat dan sedekah merupakan salah satu rahsia Allah SWT disebalik penciptaan makhluk-Nya. Bagi setiap orang mukmin hendaklah berusaha melakukan sebab-sebab dan yakin terhadap kekuasan Allah SWT. Salah satu punca yang dapat menumbuhkan harta dan memperoleh keberkatan hidup adalah dengan berzakat dan sedekah.

Zakat dan sedekah yang diertikan sebagai kaedah memberi pertolongan dalam aspek harta benda juga merupakan wadah bagi jalinan baik antara individu dan masyarakat. Jalinan ini pasti dapat menghasilkan suasana harmoni dalam kehidupan masyarakat seharian. Namun, sekiranya golongan kaya memahami akan kebaikan dan keuntungan yang bakal diperolehi, sudah tentu ia akan menjadi sumber motivasi bagi mereka untuk sentiasa menyumbangkan hartanya ke jalan Allah SWT.

Pihak-pihak pengamal zakat terutamanya amil-amil seharusnya senantiasa menjadikan Al-Quran dan Hadith sebagai sumber rujukan mengkhabarkan berita gembira kepada orang Islam yang menunaikan kewajipan berzakat. Lantas, dengan kaedah sebegini dapat menarik minat golongan yang liat mengeluarkan zakat untuk menyumbangkan harta mereka seperti yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.

Wallahualam..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s