Zakat hanya wajib jika telah sempurnanya syarat al-milk at-tam (pemilikan sempurna). Perbincangan tentang zakat maskahwin banyak berkisar dalam isu pemilikan penuh. Justeru adakah maskahwin wanita memenuhi syarat pemilikan penuh? Dalam persoalan ini terdapat perincian dalam beberapa mazhab utama dalam Islam.

Mazhab Hanafiyah (Hanafi)
Mazhab Hanafi mempunyai pandangan bahawa maksud pemilikan penuh adalah harta itu dimiliki di tangannya. Maka sekiranya seseorang memiliki sesuatu yang belum dia terima, maka tidak wajib zakat ke atasnya. Sebagaimana maskahwin sebelum diterima oleh wanita. Sebaliknya apabila telah dimiliki, maka wajiblah zakat ke atas maskahwin tersebut. Demikian pula zakat juga tidak wajib bagi orang yang menerima sesuatu tetapi hakikatnya bukan milik dia, seperti orang yang berhutang yang ditangannya terdapat harta orang lain.

Mazhab Malikiyah (Maliki)
Mazhab Maliki pula menjelaskan bahawa milik penuh adalah hendaklah seseorang itu boleh memanfaatkan sesuatu sebagai pemiliknya. Oleh kerana itu, zakat tidak diwajibkan ke atas orang yang dalam kekuasaannya terdapat harta bukan miliknya. Begitu juga maskahwin wanita bukanlah milik penuh sebelum wanita tersebut menerimanya. Akan tetapi setelah dia terima, maka maskahwin tersebut menjadi milik penuhnya yang wajib dizakati setelah satu tahun (haul) berada di tangannya. Namun, selagi mana ia masih di tangan suami, maka belum wajib dizakati.

Mazhab Syafi’iyah (Syafi’i)
Mazhab Syafi’i juga menjelaskan bahawa syarat milik penuh menjadi satu syarat penting sebelum harta itu wajib dizakatkan. Maskahwin menurut mazhab syafi’i, sekiranya masih berada di tangan suaminya, maka termasuklah dalam bab hutang. Dan zakatnya hanya wajib dikeluarkan setelah wanita menerimanya.

Mazhab Hanabilah (Hanbali)
Mazhab Hanbali menjelaskan bahawa pemilikan sempurna adalah pemilikan yang berada di tangan seseorang dan tidak berkaitan dengan hak orang lain dan pemilik boleh menggunakannya sesuai dengan kehendak dan manfaatnya kembali kepadanya, bukan orang lain. Adapun maskahwin wanita setelah diterima dan wanita tersebut memenuhi syarat milik sempurna, maka wajib dizakatkannya.

Kesimpulan.
Secara keseluruhan, keempat-empat mazhab utama di atas sealiran dalam mewajibkan zakat ke atas maskahwin wanita, namun hanya setelah seseorang wanita itu telah menerima maskahwinnya.

Dalam perkara ini juga, zakat maskahwin perlu juga memenuhi syarat-syarat lain seperti mencukupi nisab (sama nilai 85 gram emas) dan cukup satu tahun (haul) berada di tangannya.

Jumlah yang perlu dikeluarkan pula adalah mengikut jenis harta yang diterima wanita sebagai maskahwinnya itu. Lazimnya maskahwin pada zaman ini adalah dalam bentuk wang, justeru jumlah zakatnya hanya sebanyak 2.5% (1 per 40) daripada jumlah maskahwin tersebut. Sekiranya jumlah maskahwin sebanyak RM20,000 maka zakat yang perlu dikeluarkan adalah sebanyak RM500.

Sumber: Syeikh Abdul Rahman Al-Jazairi, Fiqh 4 Mazhab: Zakat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s