Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Ia difardhukan kepada mukallaf yang cukup syarat. Ia terbahagi kepada dua jenis, iaitu zakat fitrah yang diwajibkan kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, tua atau muda yang dibayar pada atau sebelum tibanya Hari Raya Puasa. Jenis kedua ialah zakat harta, iaitu zakat hasil tanaman, binatang ternakan, perniagaan, barang kemas[1], ma’dan[2], rikaz[3], serta termasuk juga zakat pendapatan.

Ibn Asyur berkata zakat telah difardukan pada pemulaan Islam bersama-sama dengan kefarduan soalat atau selepasnya sedikit. Kerana kefarduannya sangat penting bagi menunaikan hak para fuqara’ dalam kalangan orang Islam. Bilangan mereka ramai pada permulaan Islam. Hal ini kerana terdapat antara orang yang memeluk Islam yang terdiri daripada hamba, manakala yang lain telah diusir oleh keluarga mereka, serta dinafikan hak-hak dan dirampas harta-harta mereka. Justeru, adalah penting orang Islam yang berada (berharta) dan kuat menampung kekurangan mereka.[4] Firman Allah SWT:

103. ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah at-Tawbah [9]: 103

Ayat ini menjelaskan dua kepentingan dan hikmah mengeluarkan zakat, iaitu al-Tathir dan al-Tazkiyah. Al-Tathir bermaksud zakat itu membersihkan mereka daripada kekikiran dan cinta yang berlebih-lebihan kepada harta benda, manakala al-Tazkiyah bermaksud zakat itu menyuburkan sifat-sifat kebaikan dalam hati mereka dan memperkembangkan harta benda mereka.

Mengeluarkan zakat bermakna harta seseorang akan berkurangan. namun pengurangan yang berlaku hanya pada zahir sahaja kerana pada hakikatnya harta itu akan bertambah dan subur. Ini dijelaskan oleh hadith Baginda SAW:

Maksud: Daripada Said al-Ta’i Abi al-Bakhtari bahawa dia berkata: Abu Kabsyah al-Anmari berkata kepadaku bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Ada tiga perkara di mana aku bersumpah ke atasnya serta menceritakan kepada kamu tentangnya, maka hafallah. Baginda SAW bersabda lagi: Harta seseorang hamba tidak akan berkurangan disebabkan sedekah (zakat), seseorang hamba tidak akan dizalimi lalu dia bersabar melainkan Allah SWT akan menambahkan kemuliaan kepadanya, dan seseorang hamba tidak akan membuka pintu meminta-minta melainkan Allah SWT membuka pintu kefakiran ke atasnya.[5] (Riwayat at-Tirmidhi)

Zakat mempunyai banyak kebaikan khususnya dari aspek sosial dan ekonomi. Kebaikan dari aspek sosial tampak melalui zakat yang berfungsi sebagai tabungan insurans sosial di mana sumbangannya hanya datang dari orang kaya. Justeru, setiap anggota masyarakat tidak perlu berasa bimbang tentang masalah kewangan yanag akan dihadapinya sama ada untuk keperluan dirinya, isteri atau anak-anaknya. Dia juga tidak perlu berasa bimbang apabila datangnya bencana yang tidak diduga seperti penyakit, kebakaran, banjir, muflis, kematian dan sebagainya yang mungkin membinasakan kerjayanya, memusnahkan harta atau perniagaan. Ini kerana tabung zakat merupakan insurans yang mampu memberi perlindungan bagi segala risiko.[6]

Dari aspek ekonomi pula, salah satu matlamat utama zakat, iaitu untuk merapatkan perbezaan jurang ekonomi dalam sesebuah masyarakat ke tahap yang paling minimum. Tujuannya adalah untuk mencipta perbezaan ekonomi yang adil dan saksama dalam kalangan masyarakat supaya orang kaya tidak akan menjadi lebih kaya, manakala orang miskin tidak akan menjadi lebih miskin.[7]

Di samping itu, zakat juga dapat menggalakkan pelaburan modal dalam industri dan perdagangan akibat daripada faktor psikologi. Zakat yang dibayar untuk mendapatkan keredaan Allah SWT akan menggalakkan orang ramai menggunakan modal sebaik mungkin supaya mendapat lebih banyak harta dan dapat membayar zakat dengan lebih banyak dan seterusnya mendapat keredaan Allah SWT dengan lebih besar. Faktor ini meresap ke seluruh jiwa masyarakat Islam untuk menawarkan modal yang mencukupi bagi membolehkan kitaran industri dan perniagaan terus berpusing.[8]

Dalam konteks semasa, zakat dapat menjana ekonomi negara. Peningkatan kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat telah menyebabkan kadar pungutan zakat makin meningkat setiap tahun. Oleh itu, usaha-usaha peningkatan taraf hidup masyarakat khususnya golongan yang menjadi asnaf zakat dapat dilaksanakan dengan baik.

Rujukan:
Tafsir Maudhu’iy: Ekonomi dan Kewangan, Bab 4: Faktor-Faktor Kekuatan Dan Kelembapan Ekonomi: Faktor-faktor Kekuatan: Mengeluarkan Zakat, hlm. 90 – 92, tulisan oleh Wan Nasyrudin Wan Abdullah et al. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2014


[1] Maksud wajib zakat barang keas atau al-Hulli adalah apabila barang kemas tersebut sama ada emas atau perak dijadikan barang perniagaan. Jika barang tersebut dipakai sebagai perhiasan, sekalipun nilai semasanya mencapai nisab, maka tidak diwajibkan zakat ke atasnya.
[2] Iaitu hasil perut bumi seperti petroleum, permata, gas, dan sebagainya.
[3] Iaitu barang berharga yang ditemui tertanam dalam perut bumi seperti perhiasan emas, perak, permata dan sebagainya. Barangan ini ialah tinggalan orang atau kaum terdahulu.
[4] Ibn Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Jilid 5., hlm. 161.
[5] At-Tirmidhi, Jami’ at-Tirmidhi, Juzuk 8., hlm. 308, no. hadith: 2247.
[6] Zulkefley Abdul karim, “Pendapatan dan Sasaran Perbelanjaan Dana Zakat: Pengalaman di negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan: Isu dan Cabaran” dalam Abdul Ghafar Ismail & Hailani Muji Tahir, 2006. Zakat Pensyariatan Perekonomian dan Perundangan, Bangi: Penerbit UKM, hlm. 133.
[7] Ibid.
[8] Ibid.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s