Pengurus Harta Baitulmal
Baitulmal ialah satu institusi kewangan yang menyimpan hasil-hasil negeri. Dahulunya Baitulmal menjadi perbendaharaan apa sahaja hasil negeri sama ada pertanian, perniagaan, penternakan, dan sebagainya. Firman Allah SWT:

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya Aku sedia menjaganya Dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya“. (Surah Yusuf [12]: 55)

Abu al-Su’ud menyatakan permintaan Nabi Yusuf a.s. sebagai penjaga khazanah Mesir ini bagi menguruskan perolehan dan perbelanjaan negara.[1] Al-Baghawi pula menegaskan bahawa makna khaza’in dalam ayat ini ialah khazanah makanan dan harta benda.[2]

Ayat ini memberikan dua syarat utama orang yang akan menjalankan tugas menguruskan Baitulmal ini, iaitu hafiz yakni menjaga dengan amanah dan alim, iaitu mengetahui. Ketika memperincikan tentang dua kalimah ini, al-Fakhr al-Razi menyatakan rasional ia disebut di mana hafiz ialah menjaga semua aspek yang mungkin memberikan hasil perolehan dan harta. Manakala alim pula ialah mengetahui setiap sudut yang sesuai dibelanjakan wang padanya.[3] Al-Razi juga menukilkan satu pendapat lain iaitu, hafiz yakni menjaga semua kemaslahatan orang ramai dan alim iaitu mengetahui semua aspek keperluan.[4]

Dalam konteks sekarang, Baitulmal berkait rapat dengan zakat. Ia menjadi pusat pengumpulan zakat dan menyalurkan kepada asnaf zakat. Walau apa pun kedudukan Baitulmal, ia adalah satu institusi menguruskan kewangan yang melibatkan kerajaan. Oleh itu, konsep hafiz dan alim ini sangat perlu diutamakan ketika memilih pegawai dan petugasnya. Hal ini kerana ia membabitkan soal amanah terhadap harta yang disimpan di situ.

Perlu kita fahami bahawa, sesuatu hubungan sesama manusia dibina di atas dasar al-Ilhah, iaitu setiap tindakan yang melibatkan kepentingan manusia maka mesti diselesaikan sesama manusia. Misalnya jika seseorang melakukan kesilapan dengan orang lain, maka untuk menghapuskan dosa kesalahan tersebut ia mesti memohon maaf dengan orang itu, bukannya dengan pihak berkuasa dan sebagainya.

Melalui konsep ini dapat dibuat satu kesimpulan, iaitu jika pegawai tersebut memberikan harta Baitulmal kepada si A sedangkan si B yang lebih berhak tetapi tidak menerimanya, maka pegawai tadi akan memikul dosa tersebut sehinggalah si B memaafkannya.

Memperhebatkan Sistem Pungutan Zakat
Zakat hendaklah dikutip apabila tiba masanya. Firman Allah SWT:

“Dan Dia lah (Allah) Yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun Yang menjalar tanamannya dan Yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman Yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, Yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua Yang kamu makan atau belanjakan); Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melampau.” (Surah al-An’am [6]: 141)

Kerajaan mesti menyediakan pelan lengkap ke arah itu. Zakat ialah aktiviti bermusim. Firman Allah SWT:

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah at-Tawbah [9]: 34)

Ayat ini bukanlah mencela perbuatan mengumpulkan harta. Tetapi sebanyak mana harta dikumpul, ia hendaklah ditunaikan haknya, iaitu zakat. Oleh itu, zakat hendaklah ditunaikan Jika tidak maka pihak berkuasa mesti memainkan peranan sama ada melalui penerangan, bimbingan, promosi, penguatkuasaan, dan sebagainya supaya pemilik harta menunaikan zakat. Ibn Abbas meriwayatkan satu peristiwa di sebalik penurunan ayat ini. Katanya:

Maksud: Tatkala turunnya ayat ini orang Islam berasa keberatan kerananya. Mereka berkata: Tidak seorang pun antara kita meningalkan harta yang tidak kekal selepasnya kepada anak-anak. lalu Umar berkata: Aku akan menyelesaikan masalah kamu. Lalu Umar pun beredar diikuti oleh Thauban dan menemui Rasulullah SAW. Umar pun berkata: Wahai Nabi Allah SWT, sesungguhna ayat ini telah menggemparkan para sahabatmu. Maka jawab Nabi SAW: “Seseungguhnya Allah SWT tidak mewajibkan zakat melainkan untuk membaikkan harta kamu yang baki itu. Dia juga mewajibkan pusaka untuk harta yang tertinggal selepas kematian kamu”. Lalu Umar pun bertakbir, kemudian Nabi SAW bersabda kepadanya: “Hendaklah aku beritahukan engkau tentang sebaik-baik benda yang disimpan oleh seseorang? Iaitu isteri solehah yang apabila suami melihatnya dia menggembirakannya, apabila suami menyuruhnya, dia mentaatinya dan apabila suami berketiadaan maka dia menjaga (harta dan maruah) suaminya”.(Riwayat Abu Daud dan Hakim) [5]

Kerana itu Allah SWT memberi pujian kepada orang yang mengeluarkan zakat bersama orang yang mendirikan solat dan menyuruh melakukan perkara makruf dan melarang perkara mungkar. Fiman Allah SWT:

“Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.” (Surah al-Hajj [22]: 41)

Menurut Ibn Asyur, tujuan mengeluarkan zakat sebagaimana ayat tersebut adalah supaya masyarakat Islam hidup dalam satu sistem kehidupan yang tidak mempunyai jutang yang besar antara satu sama lain.[6]

Oleh itu, para amil yang diamanahkan memungut zakat tidak boleh hanya menunggu pembayar zakat datang ke rumah atau pejabatnya, bahkan mesti mengunjungi golongan yang wajib membayar zakat untuk memungutnya. Mereka hendaklah memainkan peranan mewarwarkan tentang kewajipan membayar zakat kepada segenap lapisan masyarakat. Manakala ayat-ayat al-Qur’an dan hadith Rasulullah SAW yang menceritakan tentang ganjaran pahala kepada orang yang mengeluarkan zakat hendaklah diselang-selikan dengan pembalasan kepada orang yang gagal mengeluarkan zakat dan mewajibkan kepada mereka. Al-targhib[7] dan al-Tarhib[8] hendaklah diseimbangkan.

Selain itu, sistem pungutan zakat ini mesti melibatkan penguatkuasaan undang-undang. Jika Abu Bakar al-Siffiq pernah memerangi golongan yang tidak mahu membayar zakat maka sepatutnya ia diterjemahkan melalui penguatkuasaan undang-undang, iaitu orang Islam yang enggan membayar zakat akan dikenakan hukuman dan denda sebagaimana warganegara yang enggan membayar Cukai Pendapatan.

Sistem Agihan Zakat yang Lebih Sistematik
Zakat ialah hak umat Islam. Ia adalah hak rakyat. Zakat diambil daripada rakyat kemudian dikembalikan kepada rakyat. Namun tidak semua rakyat yang layak menerimanya. Asnaf zakat menurut al-Quran ialah lapan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Tawbah [9]: 60)

Menurut al-Fakhr al-Razi, ayat di atas menunjukkan bahawa tiada orang pun yang berhak ke atas harta zakat melainkan golongan yang lapan itu sahaja, bahkan itu ialah pendapat ijmak.[9] Ini diperkuatkan lagi dengan hadith Rasulullah SAW tentang orang yang memakan harta zakat sedangkan ia tidak patut menerimanya:

Maksud:… “Kemudian datang seorang lelaki bertanya tentang sedekah (zakat), maka Rasulullah bersabda kepadanya, “Sesungguhnya sedekah terebut menyebabkan sakit kepala dan kepanasan atau keracunan di perut”…[10] (Riwayat Ahmad)

Menurut hadith Rasulullah SAW lagi:

Maksud: Daripada Abdullah ibn Amru daripada Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dihalalkan sedekah kepada orang kaya dan yang berkemampuan”.[11] (Riwayat Abu Daud)

Justeru berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa golongan yang layak menerima zakat hanya lapan, iaitu, golongan fakir, miskin, para amil, mualaf, hamba yang mukatab, orang yang berhutang, fisabilillah dan ibn al-Sabil. Golongan penerima yang lapan ini hendaklah diatur berdasarkan keutamaan mereka di mana para fakir dan miskin mesti mendahului senarai tersebut.

Selain itu, definisi dan pengkelasan golongan para amil, orang yang baru memeluk Islam, hamba yang mukatab, orang yang berhutang, fisabilillah dan ibn al-Sabil hendaklah dibuat dengan penuh teliti. Hal ini kerana wujudnya polemik dalam masyarakat adakah orang yang telah puluhan tahun memeluk Islam masih dianggap mualaf? Adakah para pelajar yang membuat pinjaman PTPTN temasuk dalam kategori al-Gharimin? Seluas manakah skop fisabilillah? Bolehkan musafir yang bermusafir dalam negara dengan menggunakan penerbangan kemudian kehabisan bekalan, dimasukkan dalam kategori ibn Sabil? Sebenarnya banyak lagi isu berkaitan yang memerlukan reformasi pendefinisian semula dalam konteks negara Malaysia.

Demikian juga penyaragaman takrifan ini antara Majlis-majlis Agama Negeri perlu dilakukan supaya sasaran golongan yang berhak menerimanya dapat memperolehnya tanpa perlu melalui karenah birokrasi yang banyak. Untuk mendapatkan kelulusan pinjaman tang berjumlah ribuan di bank-bank komersial hanya memerlukan masa tiga hari sahaja tetapi untuk mendapatkan zakat sebanyak lima ratus perlu menunggu berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan!

Pihak berkuasa hendaklah memainkan peranan yang optimum dalam pengagihan zakat ini supaya golongan atau individu yang benar-benar berhak akan memperolehnya. Demikian juga zakat yang diperoleh itu sepatutnya habis diagihkan pada tahun yang sama, bukannya disimpan hingga bertahun-tahun. Bahkan digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang tiada kaitan dengan asnaf zakat tersebut. Alasan yang biasa digunakan ialah fisabilillah.

Pengagihan yang dibuat hendaklah dilakukan dengan telus dan manis muka, bukannya dengan penghinaan dan celaan. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang Yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu Dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin Yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang Yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa Yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum Yang kafir.” (Surah al-Baqarah [2]: 264)

Rujukan:
Tafsir Maudhu’iy: Ekonomi dan Kewangan, tulisan oleh Wan Nasyrudin Wan Abdullah et al. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2014


[1] Abi al-Su’ud, Jilid 3, hlm. 447
[2] Al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas’ud, 1997, Ma’alim al-Tanzil. Cetakan Keempat. Jilid 9. Dat Tiba’ah li al-Nashr wa al-Tawzi’ hlm. 251.
[3] Al-Fakhr al-Razi, Abu Abdullah Muhammad ibn Umar, al-Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghayb. Jilid 9, hlm. 64
[4] Ibid.
[5] Ibn Kathir, Jilid 4., hlm. 140. Al-Hakim berkata hadith ini adalah Sahih berdasarkan syarat Syaikhan, namun mereka tidak meriwayatkannya.
[6] Ibn Asyur, Jilid 9., hlm. 284
[7] Ialah satu uslub dakwah yang bersifat menimbulkan keinginan dan perasaan suka melakukan sesuatu suruhan agama.
[8] Ialah satu uslub dakwah yang bersifat menggerunkan dan menimbulkan perasaan tidak suka kepada larangan agama.
[9] Al-Fakhr al-Razi, Juzuk 8., hlm. 68
[10] Ibid
[11] Abu Daud, Jilid 4., hlm, 440, no. hadith: 1392.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s