Assalamualaikum dan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1439H.

Pada post yang lepas (PART I) telah dijelaskan serba sedikit berkenaan pengertian, hukum dan hikmah-hikmah Zakat Fitrah yang disyariatkan kepada Muslim. InsyaAllah post kali ini pula akan memfokuskan kepada “Siapa dan dari siapa Zakat Fitrah itu diwajibkan ?”.

Kepada Siapa Zakat Fitrah Diwajibkan?
Dalam hadith yang telah diriwayatkan, dari Ibn Umar yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan satu sha’a (gantang) kurma atau satu Sha’ (gantang) gandum kepada setiap orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki mahupun perempuan dari kaum Muslimin” (HR Bukhari)

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum Muslimin” (HR Bukhari)

Juga dari Abu Hurairah berkenaan Zakat Fitrah yang bermaksud: “Wajib pada orang-orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki, perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya” (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim dan Nasa’i. Ini merupakan ucapan Abu Hurairah, akan tetapi tidaklah dianggap sebagai hasil ijitihad (akal) semata-mata)

Hadith dan riwayat tersebut menunjukkan kepada kita, bahawa Zakat Fitrah itu adalah kewajipan yang bersifat umum, pada setiap orang, dari kaum Muslimin dengan tidak membezakan antara orang kaya dengan orang fakir, antara penduduk kota ataupun penduduk kampung.

Apakah Zakat Fitrah Wajib kepada Isteri dan Anak-Anak?
Ucapan Rasulullah SAW “kanak-kanak dan orang dewasa”, menunjukkan bahawa zakat fitrah itu wajib bagi anak kecil, diambil dari hartanya apabila ia memiliki harta, lalu dikeluarkan oleh walinya, seperti halnya dalam zakat harta. Apabila ia tidak memliki harta, maka zakat fitrahnya wajib bagi orang yang memberikan nafkah kepadanya. Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Ulama.

Apakah Nisab Disyaratkan kepada Zakat Fitrah?
Ibn Umar dalam hadithnya (“kepada setiap orang yang merdeka dan hamba sahaya”) adalah mencakup orang yang kaya dan fakir yang tidak memiliki nisab, sebagaimana dijelaskan oleh Abu Hurairah (“fakir atau kaya”). Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Ulama. Mereka tidak mensyaratkan kewajipan zakat fitrah, kecuali Islam.

Syarat Islam
Adanya lebihan dari makanannya dan makanan bagi orang yang wajib nafkah baginya pada hari dan malam hari raya (Idulfitri), dan tidak termasuk lebihan dari rumahnya, perabot, rumahtangganya dan keperluan asasnya.

Menurut Imam Asy-Syaukani: “ Inilah pendapat yang benar, kerana nas-nasnya bersifat mutlak, tidak mengkhususkan antara orang kaya dengan orang miskin. Tiada ada tempat ijtihad dalam menentukan ukuran benda yang dikeluarkan itu, harus dimilikinya, dan terutama alasan disyariatkannya zakat fitrah, iaitu “mensucikan puasa dari ucapan dan perbuatan yang tidak bermanfaat”, adalah terdapat baik pada orang kaya mahupun pada orang miskin.”

Menurutnya lagi: “Dan memandang orang itu memiliki makanan yang menguatkan pada hari dan malamnya adalah merupakan sesuatu yang bersifat harus, kerana maksud disyariatkan zakat fitrah adalah memberikan kecukupan pada hari itu. Jika tidak dipandang pada hak orang yang mengeluarkan, maka pasti kita diperintahkan memberikan kecukupan kepadanya…”

Dr. Yusuf Qaradhawi melihat bahawa, Allah dan RasulNya dalam menetapkan kewajibkan Zakat Fitrah ini bagi setiap Muslim, miskin atau kaya, pasti mempunyai sasaran yang bukan sekadar bersifat material, akan tetapi sasaran akhlak dan pendidikan. Sasaran ini adalah mendidik orang Muslim untuk menyedekahkan hartanya dalam keadaan miskin (susah) sama seperti dalam keadaan kaya (senang), hendak berkorban dalam keadaan susah sama seperti dalam keadaan senang. Sebagaimana firman Allah SWT dalam menerangkan sifat-sifat orang yang bertaqwa yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik” [Surah Ali-‘Imran (3):134]

Dari sini orang Muslim dapat belajar, bahawa walaupun ia dalam keadaan miskin harta, terbelenggu keadaannya, namun tetap tangannya berada di atas (memberi), dan ia akan merasakan pula nikmatnya memberi dan nikmatnya menganugerahkan sesuatu kepada orang lain, walaupun hanya berlangsung sehari dalam satu tahun.

Atas dasar itu, mazhab yang paling tepat adalah mazhab Jumhur yang tidak mensyaratkan nisab kepada kewajiban zakat fitrah ini.

Syarat Kewajipan Zakat Fitrah Bagi Si Miskin
Jumhur ulama telah mensyaratkan kewajipan zakat fitrah ini bagi orang miskin, iaitu memeliki lebihan makanan ruji bagi dirinya dan orang yang menjadi tanggungan nafkahnya, pada malam dan hari Idulfitri. Lebihan itu tidaklah termasuk rumah, perabot dan keperluan lainnya.

Barangsiapa yang mempunyai rumah untuk dihuninya atau untuk disewakan yang sewanya untuk biaya hidupnya, atau pakaian yang akan dipakainya, atau mempunyai haiwan ternak yang akan ditungganginya atau untuk dimanfaatkan dalam rangka memenuhi keperluan asas, atau barang yang akan diambil labanya, maka dengan sebab itu tidak wajib Zakat Fitrah padanya, kerana hal itu berhubungan langsung dengan keperluan asasnya sehingga tidak harus dijual semata untuk membayar Zakat Fitrah. Barangsiapa yang memiliki buku-buku yang perlu dipelajari, maka tidak usah juga dijual. Perempuan yang mempunyai perhiasan yang akan dipakainya, atau yang akan disewakan kerana diperlukan, maka tidak usah pula dijual untuk membayar zakat fitrahnya.

Adapun jika lebihan dari keperluan asasnya dan memungkinkan untuk dijual serta dimanfaatkan untuk keperluan Zakat Fitrah, maka wajiblah Zakat Fitrah ke atasnya, kerana ia boleh melakukannya tanpa menyebabkan kemudharatan iaitu sama seperti orang yang memiliki lebihan makanan dari keperluan asasnya. (Al-Mughni)

Kesimpulan
Maka. dari keseluruhan ulasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa Zakat Fitrah itu wajib bagi setiap orang Islam tidak kira muda, tua, kaya atau miskin. Kewajipan ini sudah tentulah untuk memenuhi tuntutan agama serta merasakan nikmat memberi dan nikmatnya menganugerahkan sesuatu kepada orang lain, walaupun hanya berlangsung sehari dalam satu tahun.

Alhamdulillah, selesai PART II. InsyaAllah artikel Zakat Fitrah ini akan bersambung lagi pada bahagian PART III pula yang akan membentangkan berkenaan “Kadar Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah”
InshaAllah sehingga berjumpa lagi !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s