Assalamualaikum dan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1439H.
Sesungguhnya di bulan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ibadah dan amalan kita agar mendapat pahala yang berlipatkali ganda dari Allah SWT.

InsyaAllah bulan ini saya akan membawa info-info berkenaan Zakat yang sangat sinonim dengan Bulan Ramadhan iaitu Zakat Fitrah. Maklumat yang dikongsi akan dibahagikan kepada tiga (3) bahagian atau post yang berbeza-beza. Semoga bermanfaat.

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Perintah menunaikan Zakat Fitrah adalah bermula pada tahun ke-2 Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadhan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari ucapan kotor dan perbuatan yang tidak berguna. Zakat Fitrah juga untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan dan permintaannya pada Hari Raya 1 Syawal (Aidulfitri).

Zakat Fitrah merupakan sejenis cukai Islam yang berbeza dari zakat-zakat yang lain, kerana ia merupakan cukai keatas individu-individu, sedangkan bagi zakat lain-lain (harta) merupakan cukai pada harta-harta yang dimiliki. Oleh sebab itu, maka tidak disyaratkan pada zakat fitrah seperti apa yang disyaratkan pada zakat lain, iaitu seperti nisab, syarat-syarat yang jelas dan sebagainya.

NAS KEWAJIPAN ZAKAT FITRAH
Ahli Hadith telah meriwayatkan Hadith Rasulullah SAW dari Ibn Umar yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan satu sha’a (gantang) kurma atau satu sha’ (gantang) gandum kepada setiap orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki mahupun perempuan dari kaum Muslimin” (HR Bukhari)

HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT FITRAH
Hikmah diwajibkannya zakat fitrah ini adalah sebagaimana riwayah Ibn Abbas yang bermaksud:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa dari percakapan yang tidak ada manfaatnya dan kotor, serta untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin” (HR Abu Daud)

Hikmah Zakat Fitrah ini terdiri dari dua (2):
Pertama, yang berhubungan dengan orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan. Kadangkala dalam berpuasa itu sesetangah orang terjerumus kepada percakapan dan perbuatan yang tidak bermanfaat, sedangkan puasa yang sempurna itu adalah puasa lidah dan anggota tubuhnya. Tidak diizinkan bagi orang yang berpuasa, baik lidahnya, telinganya, matanya, hidungnya, tangannya mahupun kakinya mengerjakan apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya, baik ucapan mahupun perbuatan. Akan tetapi, manusia dengan kelemahannya sebagai manusia, tidak sentiasa melepaskan dirinya dari perkara tersebut sehingga datanglah kewajipan Zakat Fitrah di akhir bulan, yang seperti pembersih atau sabun untuk membersihkan orang dari kemudharatan yang menimpa dirinya, atau membersihkan kekotoran puasanya, atau menampal segala yang kurang. Sesungguhnya setiap kebaikan itu akan menghilangkan segala yang kotor.

Kedua, yang berhubung dengan masyarakat, iaitu menumbuhkan rasa kecintaan orang-orang miskin dan orang-orang yang memerlukan. Hari Raya 1 Syawal adalah hari kemenangan dan hari umat Islam bergembira dan bersuka ria, kerananya, kegembiraan itu harus disebarkan kepada seluruh anggota masyarakat Muslim. Orang Muslim yang fakir miskin tidak akan merasa bahagia, apabila dia melihat orang kaya dan orang yang mampu memperoleh nikmat dan makanan. Maka tetaplah dengan hikmah syariat, mewajibkan sesuatu bagi memenuhi keperluan fakir miskin dan mencegahnya dari meminta-minta. Si fakir akan merasa pula bahawa masyarakat tidak membiarkan dia seorang diri, tidak melupakannya pada hari yang berbahagia dan agung itu. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Cukupkanlah keperluan mereka pada hari itu” (HR Baihaqi)

Dari hikmah syariat Zakat Fitrah juga dapat ditetapkan berkenaan ukuran yang wajib dikeluarkan, iaitu yang mudah bagi orang Islam dari makanan rujinya, sehingga boleh diharapkan semua orang boleh melakukan pekerjaan yang mulia ini dan waktu yang berkah ini.

Alhamdulillah, selesai PART 1. InsyaAllah artikel Zakat Fitrah akan bersambung lagi pada bahagian PART II pula yang akan berkongsi berkenaan “Kepada Siapa Dan Dari Siapa Zakat Fitrah Itu Diwajibkan ?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s